Tuesday, March 3, 2009

SIRAH: NABI MUHAMMAD DIBESARKAN DI DESA

1.0. Kehidupan Nabi Muhammad S.A.W di desa Bani Sa’ad dalam membentuk jiwa seorang pemimpin agung.


1.1. Pengenalan.
Nabi Muhammad S.A.W dilahirkan di kota Makkah pada 12 Rabiulawal Tahun Gajah. Baginda dilahirkan dalam keadaan yatim kerana ayahanda Nabi telah meninggal dunia di Madinah semasa baginda di dalam kandungan ibunya Aminah.
Menjadi adat resam bangsawan Arab menyerahkan bayi mereka untuk disusukan oleh ibu susu yang tinggal di desa. Tujuan penyusuan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada bayi-bayi mereka kepada kehidupan desa yang penuh dengan nilai-nilai murni. Anak-anak dibesarkan dalam suasana desa yang tidak tercemar dari unsur-unsur negatif masyarakat Arab Jahiliyah kota Makkah serta dapat menghindarkan anak-anak mereka daripada wabak penyakit yang terdapat di Kota Makkah.
Setelah disusukan beberapa hari oleh Aminah, Nabi Muhammad saw disusukan oleh Suwaibatul Aslamiyah hamba kepada Abu Lahab. Selepas disusukan oleh Suwaibatul Aslamiyah, Nabi Muhammad disusukan pula oleh Halimah binti Abi Zuwaib dari suku Saad bin Bakr.
Para penyusu suku Bani Saad sangat terkenal di sekitar Makkah, mereka mengunjungi Makkah pada waktu-waktu tertentu untuk mengambil upah menyusukan bayi. Pada mulanya Nabi Muhammad tidak mahu menyusu dengan ibu susu yang lain. Halimah datang tepat pada masanya, Halimah tidak mendapat seorang bayi pun untuk disusukan. Menjadi kebiasaan bagi ibu-ibu susu untuk tidak memilih anak yatim untuk disusukan, kerana bermasalah dari segi pembayaran upah menyusu.Disebabkan tidak mendapat seorang bayi pun untuk disusukan, Halimah menerima Nabi Muhammad sebagai anak susuannya kerana beliau tidak suka kembali ke kampungnya tanpa membawa bayi untuk disusui.




Halimah membawa nabi Muhammad pulang ke kampungnya dan mula menyusui baginda. Beliau merasa hairan kerana susunya yang sebelum itu kering tiba-tiba keluar dengan banyaknya sebaik Nabi Muhammad saw menyusuinya. Saudara sesusuan Nabi juga dapat menyusu sehingga kenyang, selain itu kambing peliharaan Halimah dan suaminya turut bertambah susu dan dapat diperah oleh keluarga Halimah untuk dibuat minuman. Suami Halimah mengatakan bahawa mereka telah mengambil bayi yang penuh berkah.
Kehidupan Nabi Muhammad penuh dengan peristiwa yang menakjubkan sejak dari kelahiran baginda. Semasa Nabi Muhammad saw dilahirkan, perkampungn Bani Saad mengalami kemarau yang teruk, kedatangan Nabi Muhammad S.A.W telah merubah segalanya. Tanaman menjadi subur menghijau, ternakan kambing biri-biri dan unta menjadi sihat, gemuk serta berkembang biak dengan baik. Kesemua kejadian ini menunjukkan keistimewaan Nabi Muhammad S.A.W yang bakal dilantik menjadi Rasul terakhir.

1.2. Kesan Pembentukan Diri Nabi Muhammad saw.
Kehidupan Nabi Muhammad saw di desa Bani Saad telah memberikan kesan positif yang mendalam kepada diri Nabi Muhammad S.A.W. sebagai bakal pemimpin umat seluruh alam. Pengalaman baginda dibesarkan di desa merupakan salah satu aspek penting yang memberi kesan dalam pembentukan diri baginda saw.

1.3. Nilai-nilai murni dan akhlak mulia.
Nabi Muhammad S.A.W didedahkan kepada amalan kehidupan masyarakat desa yang terkenal dengan sikap yang baik dididik supaya sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni masyarakat desa. Ketika diasuh dan dibesarkan di desa Bani Saad, Nabi Muhammad SAW dididik dengan akhlak mulia yang menjadi amalan tradisi masyarakat desa. Nilai-nilai murni seperti lembut tutur kata, bertimbang rasa, amanah dan sabar menjadi sebahagian dari diri Nabi Muhammad S.A.W sejak kecil hingga dewasa. Sifat-sifat mulia ini sangat perlu bagi seorang pemimpin seluruh umat manusia. Pemeliharan Nabi oleh keluarga Halmah As Saadiah ini sangat menepati pembentukan sahsiah Nabi Muhammad S.A.W sebagai bakal Rasul akhir zaman dan pemimpin seluruh umat.


1.4. Kasih sayang dan bertoleransi.
Perkara yang boleh dipelajari daripada kehidupan Nabi Muhammad S.A.W di desa Bani Saad bin Bakr ialah sikap bertoleransi dalam pergaulan. Nabi Muhammad S.A.W dibesarkan bersama anak-anak Halimah As Saadiah serta anak-anak susuan yang lain, keadaan ini dapat membentuk peribadi Nabi Muhammad dengan sikap toleransi sesama saudara sesusuan berbanding dengan diri Nabi yang merupakan anak tunggal kepada Abdullah dan Aminah.
Sikap berlemah lembut dalam tutur kata, bertimbang rasa dan sabar merupakan ciri-ciri penting bagi seorang pemimpin umat. Sifat-sifat ini amat penting bagi Nabi Muhammad yang bakal berhadapan dengan kaumnya iaitu kaum Arab Jahiliyah Quraisy yang terkenal dengan keruntuhan akhlak. Dalam menjalankan kerja-kerja dakwah Islamiyah, sikap bertimbang rasa dan sabar merupakan salah satu aset penting bagi Rasulullah S.A.W sebagai pemimpin umat untuk berjaya dalam menyampaikan seruan Islam.

1.5. Jatidiri yang tinggi.
Masyarakat desa sememangnya terkenal dengan sifat jatidiri yang tinggi. Sifat ini merupakan antara sifat yang penting yang menjadi faktor penentu kejayaan seseorang individu dalam kehidupan mereka. Jati diri yang tinggi merupakan antara sifat penting yang dalam pembentukan diri Nabi Muhammad S.A.W yang merupakan anak yatim sejak dilahirkan.

1.6. Kemahiran yang diperolehi Nabi Muhammad saw.
Salah satu tujuan bangsawan Arab Quraisy menghantar anak-anak mereka ke desa adalah supaya anak-anak mereka mendapat pengetahuan dan kemahiran asas dalam kehidupan melalui tunjukajar masyarakat desa yang terkenal dengan nilai-nilai murni. Nabi Muhammad S.A.W mempelajari berbagai ilmu pengetahuan, pengalaman dan kemahiran ketika diasuh dan dibesarkan di desa.



1.7. Mempelajari Bahasa Arab Asli.
Di antara ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi baginda S.A.W semasa diasuh di desa ialah Nabi Muhammad saw dapat menguasai bahasa Arab dengan baik. Bahasa Arab yang dikuasai Nabi adalah bahasa Arab asli atau bahasa arab fusha yang digunakan oleh masyarakat desa. Sementara di Kota Makkah, bahasa Arab sudah tercemar disebabkan terdapat ramai kaum asing yang datang dan tinggal di Makkah setiap tahun. Penguasaan bahasa yang betul dan fasih merupakan perkara penting dalam pembentukan diri seorang pemimpin agung seluruh umat.

1.8. Mengggembala kambing.
Aktiviti masyarakat desa Bani Saad adalah memelihara kambing untuk keperluan kehidupan seharian mereka. Nabi Muhamamad saw memperoleh pengalaman menggembala kambing ketika membantu keluarga Halimah menggembala kambing yang merupakan amalan mulia tanpa mengenal kedudukan seseorang dalam masyarakat. Pengalaman ini memberi kesan tarbiyyah yang mendalam kepada diri Nabi sehingga baginda biasa dengan sifat kesederhanaan.
Melalui pengalaman menggembala kambing, Nabi Muhammad dididik dengan sifat sabar, bertimbang rasa dan amanah yang merupakan sifat-sifat yang sangat penting yang perlu bagi seorang yang bakal menjadi pemimpin umat.

1.9. Kesimpulan.
Kehidupan Nabi Muhammad saw di desa Bani Saad merupakan salah satu asas kepada pembentukan peribadi Nabi sebagai bakal pemimpin agung seluruh umat. Pengalaman Nabi Muhammad dibesarkan di desa memberi kesan kepada keperibadian baginda melalui amalan-amalan mulia dan nilai murni yang sentiasa menjadi amalan masyarakat desa.

2 comments:

MERPATIPUTIHS said...

Minta izin untuk share sebagai rujukan

Unknown said...

Nabi kan masih bayi semasa di desa,bagaimana dapat mendalami bahasa dan budaya desa?Sampai berapa usia nabi dibesarkan di desa?