Wednesday, February 22, 2012

Haji Yusof Bin Haji Abdullah Ar-Rawi

Haji Yusof Bin Haji Abdullah Ar-Rawi

1.0 Pendahuluan.

Tafsiran al-Quran dalam bahasa Melayu merupakan keperluan penting bagi umat Islam di Malaysia untuk memahami isi kandungan al-Quran. Kitab-kitab Tafsir yang dikarang oleh ulama-ulama muktabar dalam bidang Pengajian Ulum al-Quran dan Tafsir seperti Tafsir Tabari, Ibn Kathir, Qurtubi, dan sebagainya mungkin menjadi satu bahan yang asing bagi masyarakat Melayu. Ini disebabkan mereka tidak dapat memahami bahasa yang digunakan dalam tafsir tersebut iaitu bahasa Arab sebelum usaha-usaha penterjemahan dalam bahasa Melayu. Tafsir-tafsir hasil ilham ulama-ulama’nusantara alam Melayu seperti Tafsir Nur al-Ihsan ,Tafsir al-Baidawi Melayu,Tafsir Juzu’ `Amma, termasuklah Tafsir al-Rawi serta beberapa lagi nama tafsir yang lain yang masih lagi digunakan sehingga kini .


1.1 Sejarah kelahiran dan latar belakang kehidupan.

Haji Yusof Bin Haji Abdullah Ar-Rawi atau dikenali sebagai Haji Yusof Rawa dilahirkan dalam sebuah keluarga berketurunan Rawa yang tinggal di Kampung Rawa Pulau Pinang. Beliau dilahirkan di Lebuh Acheh, Pulau Pinang pada tanggal 6 Mei 1922. Haji Yusof Rawa adalah anak kedua dalam keluarga Tuan Haji Abdullah Bin Haji Noordin al-Rawi[1] yang berasal daripada Rawa, Sumatera.

Ayah beliau asalnya adalah seorang pedagang yang merantau dari Sumatera untuk berdagang dengan membawa al-Quran, kitab-kitab dan alat-alat kegunaan untuk beribadah seperti tasbih sejadah dan lain-lain keperluan yang berkait rapat dengan kehidupan seharian.[2] Ayah beliau, kemudiannya mempunyai perniagaan penerbitan yang dinamakan United Press dan Maktabah Haji Abdullah bin Mohd Nordin al-Rawi. Ibu beliau bernama Asmah bte Haji Salleh. Beliau digelar Yusof Rawa kerana merujuk kepada kampung ayah beliau yang berasal dari kampung Rawa, Sumatera.

Haji Yusof Rawa telah mendirikan rumah tangga setelah pulang ke tanah air selepas menuntut ilmu di Mekah. Beliau telah disatukan dengan seorang perempuan pilihan ibunya iaitu Che Kalson binti Ali yang merupakan anak keturunan bangsawan. Pada masa itu umur Haji Yusof Rawa 25 tahun dan umur Che Kalsom Ali berumur 20 tahun. Hasil perkahwinan ini ,beliau dan isterinya dikurniakan 11 orang cahaya mata ,5 orang lelaki dan 6 orang adalah perempuan.Beliau juga telah dikurniakan dengan 30 orang cucu dan dua orang cicit.

Haji Yusof Rawa menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari Jumaat 28 April 2000 di rumah beliau sendiri di Gelugor,Pulau Pinang kira-kira jam 7.00 pagi setelah uzur beberapa tahun.Pada ketika itu umur beliau ialah 79 tahun. Jenazah beliau di sembahyangkan di Masjid Jamek, Sungai Gelugor selepas solat asar diimamkan oleh Tuan Guru Haji Yahya Joned .Jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam ,Jalan Perak, Gelugor Pulau Pinang.

1.2 Pendidikan.

Haji Yusof Rawa mendapat pendidikan awal bermula di Sekolah Rendah Hutan Mayat di Jalan Carnavon sehingga darjah empat. Beliau kemudian berpindah ke Sekolah Chowrasta di Transfer Road. Di peringkat menengah pula beliau memasuki sekolah Inggeris iaitu Government English School yang mana terdapat Special Malay Class di sekolah tersebut. Haji Yusof Rawa menyambung pengajiannya di sekolah terkemuka iaitu Penang Free School sehingga memperolehi Sijil Junior Cambridge.

Pada masa itu jarang sekali orang Melayu yang mendapat kelulusan seuumpama itu dan Haji Yusof Rawa menanam hasrat untuk melanjut ke peringkat Senior Cambridge. Ayah beliau tidak mahu anaknya dididik dengan cara hidup kolonial lalu mengambil keputusan untuk menghantar beliau melanjutkan pelajaran ke Mekah untuk menuntut dalam bidang agama di Maahad Dar al-Ulum selama empat tahun.

Dalam keadaan yang begitu muda beliau tetap gigih untuk melaksanakan segala dugaan untuk melaksanakan amanah untuk menuntut ilmu agama. Beliau telah menuntut di Maahad al-Falah dalam bidang Usuluddin. Sebagai pelajar yang pintar, Yusof Rawa tidak menghampakan impian keluarganya.

Beliau memperolehi keputusan cemerlang dalam diploma pengkhususan Usul al-Din “Takhassus al-Din”. Meletusnya perang dunia kedua menyebabkan beliau terputus hubungan dengan keluarganya termasuklah dari sudut bantuan kewangan. Keluarga angkatnya di Mekah juga mengalami masalah kewangan, akhirnya beliau terpaksa bekerja untuk menanggung kos kehidupannya di sana.

Di antara sahabat-sahabat beliau yang sama-sama menuntut di Mekah ialah, Tuan Guru Haji Samad Noh, Tuan Guru Haji Talib, Tuan Guru Haji Daud, dan tuan Guru Haji Salleh.

Haji Yusof Rawa meneruskan mendalami ilmu agama di Tanah Suci Mekah setelah tamat dalam pengajian. Beliau bekerja di Syarikat M.Husni Gama sebagai setiausaha sambil menuntut dalam Diploma Pengurusan di Bennette College Shefield England secara pos. Beliau terpaksa pulang ke tanah air, untuk menguruskan perniagaan keluarganya di Pulau Pinang setelah ayahnya mennggal dunia akibat terkena ledakan bom tentera Jepun pada tahun 1947. Kegigihan Haji Yusof Rawa meneruskan perniagaan ayahnya Haji Abdullah Noordin yang terkorban semasa perang dunia ke-dua membuktikan kecekalan hati Haji Yusof Rawa untuk membinanya semula selepas peperangan.

1.3 Sumbangan

Haji Yusof Rawa sangat gigih dalam kerjayanya dan telah melebarkan perniagaannya ke seluruh Tanah Melayu dengan mengikat beberapa kontrak penerbitan dan percetakan buku –buku sekolah agama dan pondok . Sebagai seorang tokoh ilmuan, Haji Yusof Rawa telah menghasilkan beberapa karya yang bermutu sebagai sumbangan yang berharga kepada masyarakat.

Beliau tidak menghadapi masalah dalam menerbitkan hasil karya beliau serta rakan-rakan beliau kerana beliau memiliki syarikat percetakan sendiri. Syarikat percetakan beliau yang dinamakan Syarikat Percetakan al-Rawa dibuka pada tahun 1946 sekembalinya beliau dari menuntut ilmu di Mekah. Sebelum mempunyai syarikat percetakan sendiri, beliau telah menulis artikel untuk dihantar kepada majalah-majalah di tanah air sedangkan beliau masih berada di luar Negara ketika itu. Hasil tulisan beliau dapat dilihat apabila tersiar dalam Warta Jenaka, Warta Malaya, dan Warta Ahad pada tahun 1937.

Sebagai sumbangan kepada masyarakat, Haji Yusof Rawa turut mengarang buku-buku agama, menerbitkan majalah dwi mingguan iaitu al-Islah, dan juga risalah-risalah perjuangan Islam seperti al Muslimun dan Jama'at Islami. Semasa beliau di Mekah lagi beliau banyak mengkaji dan membaca risalah yang dikeluarkan oleh gerakan al-Ikhwan di Mesir. Nama-nama seperti Al-Syahid Hasan al-Banna, Muhamad `Abduh dan sebagainya, disebabkan terlibat dengan nama-nama tersebut beliau pernah ditahan oleh British kerana disyaki terbabit dengan gerakan Islah di Mesir. Nama beliau juga terlibat dalam senarai yang dikehendaki oleh pihak British kerana tuduhan terlibat didalam kegiatan menentang penjajah British tetapi kemudian dibebaskan dengan amaran.

Haji Yusof Rawa turut menyampaikan dakwah dengan mengarang risalah tentang Islam dan diedarkan kepada masyarakat bukan Muslim di Pulau Pinangs.
Selain menerbitkan risalah dakwah, beliau turut menerbitkan buku-buku geografi yang diterjemahkan daripada bahasa Inggeris kedalam bahasa Arab untuk kegunaan pelajar-pelajar pondok.[2] serta kegunaan pelajar-pelajar sekolah agama di Tanah Melayu. Di antara sumbangan besar beliau dalam bidang agama, Haji Yusof Rawa menghasilkan sebuah kitab Tafsir yng dinamakan Tafsir al-Rawi Juzu' 'Amma. Beliau pernah mendapat pujian Pendeta Zaaba kerana berjaya menghasilkan sebuah karya yang mempunyai nilai kesusasteran yang tinggi iaitu Madah Sukma.

Bagi menyumbangkan khidmat bakti kepada masyarakat, Haji Yusof Rawa bergiat aktif dalam politik. Banyak pencapaian yang membanggakan dicapai sepanjang karier politiknya. Beliau mendaftar sebagai ahli PAS seumur hidup dan pada awal tahun 1970-an, beliau dilantik menjadi Naib yang diPertua PAS yang pertama, seterusnya menjadi Timbalan Presiden PAS dan akhirnya memegang jawatan Mursyidul Am PAS yang pertama pada tahun 1987 sehingga tahun 1993.

Haji Yusuf Rawa turut memberi khidmat kepada negara apabila dilantik sebagai Timbalan menteri Perusahaan Utama di bawah cabinet Tun Abdul Razak dalam kerajaan campuran PERIKATAN. Beliau telah dipilih oleh Tunku Abdul Rahman untuk menjadi anggota delegasi ke Taiwan untuk melawat umat Islam di sana berdasarkan kemampuan beliau bertutur dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Beliau juga pernah menjadi konsul Kehormat Iraq di Pulau Pinang.

Sumbangan beliau seterusnya kepada negara ialah apabila beliau dilantik menjadi Duta besar Malaysia ke Iran ketika Shah Iran masih lagi memerintah. Melalui tugas tersebut, Haji Yusof Rawa telah ditauliahkan ke Turki dan Afghanistan. Beliau menggunakan kesempatan ini, untuk mempelajari bahasa Farsi dan Perancis di samping mengekalkan kefasihan berbahasa Arab dan Inggeris. Selain menguasai empat bahasa tersebut, Haji Yusof Rawa juga fasih berbahasa urdu.

Selain itu beliau juga menjadi wakil Malaysia ke PBB yang mana pada masa itu sidang diadakan di New York, beliaulah yang menjadi jurucakap Malaysia tentang isu-isu yang berkaitan dengan antarabangsa yang melibatkan Malaysia pada masa itu. Beliau juga berperanan dalam menerangkan dasar-dasar Malaysia dan memperkenalkan Malaysia di Timur Tengah.

Sumbangan beliau yang tidak ternilai kepada masyarakat dan negara, menyebabkan beliau dianugerahkan pingat Jaksa pendamai dan Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang pada tahun 1992. Melalui sifat pemurah dan suka membantu orang lain, beliau telah menubuhkan sebuah yayasan yang dinamakan Warathat Haji Yusof Rawa pada tahun 1996. Beliau digelar al-za'im oleh rakan-rakannya kerana sifat mulia yang ada pada dirinya.

2.0 Sistem metodologi tafsir al Rawi.

Haji Yusof Rawi menggunakan metodologi yang tersendiri dalam menyiapkan tafsir ini, untuk memudahkan masyarakat awam yang sentiasa dahagakan ilmu untuk membacanya dan memahami isi kandungan ayat-ayat didalam Juzu’ `Amma tafsir ini disusun dalam kaedah Baghdadiyyah sebagaimana yang disusun dalam muqaddam. Kitab tafsir ini dihasilkan dengan ringkas dan padat memuatkan tafsiran surah-surah dari

1. Yusof Rawa menyusun tafsiran beliau dengan cara yang sistematik dan teratur. Bahagian pertama dalam kitabnya ditulis mukadimah, muka surat dan dinyatakan nama surah yang hendak ditafsir dalam Bahasa Arab pada permulaan kitab. Pada setiap permulaan ayat akan dituliskan kalimah Basmalah sementara itu terdapat di sesetengah surah dinyatakan kedudukan masa turunnya ayat seperti”
سورة الناس نزلت بعد الفلق, walau bagaimanapun, tidak semua surah yang terlibat.

2. Surah al-Quran yang hendak ditafsir dinyatakan dengan baris mengikut Rasm Uthmani sehingga selesai, walaubagaimanapun, beliau tidak meletakkan baris dan nombor surah pada ayat dalam huraian penafsirannya.

3. Haji Yusof Rawa sangat memberi penekanan dalam aspek asbabul nuzul iaitu sebab turun ayat serta latar belakang sesuatu surah. Ini membawa kepada penghuraian aspek tersebut dalam surah yang ditafsir tetapi tidak semua surah dinyatakan aspek tersebut, dalam surah al-Ikhlas dinyatakan sebab turun ayat ,tetapi tidak dinyatakan sumber yang digunakan dalam mengeluarkan sebab turun ayat sebagai contoh sebab turun ayat surah al-Ikhlas.

4. Cara beliau menafsirkan surah ialah mengikut ayat, iaitu satu ayat ke satu ayat yang lain mengikut susunan ayat tersebut. Terdapat ayat yang ditafsirkan panjang dan terdapat juga ayat yang ditafsir pendek.

5, Haji Yusof Rawa tidak menggunakan metodologi tafsir Bi al-Ma'thur iaitu tafsir ayat al-Quran dengan ayat al-Quran ,ayat al-Quran dengan hadis dan dengan pendapat sahabat dan pendapat yang disepakati oleh para tabiin R.A sebagaimana kebiasaan yang dilakukan oleh pentafsir-pentafsir lain. Beliau tidak menggunakan kaedah ini berkemungkinan untuk menyesuaikan kemampuan pelajar dan masyarakat awam dalam mempelajari dan memahami al-Quran. Pendekatan ilmiah yang sesuai dengan tahap pemikiran umat Islam pada masa itu digunakan oleh Yusof Rawa dalam pentafsirannya

6. Yusof Rawa menerapkan pendekatan al-salaf al-salih ketika mentafsirkan ayat yang berkaitan dengan aqidah dalam tafsirannya. Perkara ini dapat dilihat apabila beliau mentafsirkan ayat 22 daripada surah al-Fajr:

"Dan saat itu, datanglah tuhan engkau ya Muhammad, kedatangan yang layak baginya yang Maha Suci dan pada ketika itu berbaris-baris malaikat masing-masing pada tempatnya yang sepadan dengan darjat atau pangkatnya cubalah gambarkan kemuliaan dan keagungan masa itu, tuhan yang menjadikan segala makhluk ini datang dengan segala kebesaran dan kehormatan yang wajib dengan sifat-Nya yang Maha Esa itu, betapakah hinanya kita hamba-hamba-Nya ini berdiri di hadapan-Nya al Malik al-Quddus.44

Dalam ayat di atas, beliau mengambil sikap mengekalkan makna zahir ayat dan tidak mentakwilkannya.

7. Tafsir al-Rawi Juzu' Amma ditafsirkan mengikut kesatuan tajuk (topik) dalam sesuatu surah atau al-wahdah al-maudhu'iyyah. Perkara ini dapat dilihat dalam pentafsiran surah an-Naba'. Beliau menghimpunkan ayat 1 hingga 16, sebelum memberikan huraian dan maksudnya.

9. Yusof Rawa juga menekankan isu-isu semasa umat Islam yang perlu diberi perhatian ketika itu. Contoh bagi kenyataan ini ialah mengenai isu kemiskinan, apabila beliau menghuraikan ayat 3 daripada surah al-Maa'un.

10. Haji Yusof Rawa juga ada menyatakan pengajaran yang terdapat dalam ayat selepas mentafsirkan ayar-ayat al-Quran, walaupun perkara yang disebutkan itu adalah khusus, tetapi yang dimaksudkan Allah adalah umum. Beliau menyeru pembaca agar mengambil pengajaran ayat-ayat al-Quran yang dibaca.

11. Didalam bahagian dua tafsir ini, Haji Yusof Rawa juga menyatakan huraian ringkas mengenai surah dan isi kandungannya bermula pada surah al-Layl hinggalah surah al-Naba’.[4]

12. Di akhir hampir setiap surah perbahasan Tafsir al-Rawi ini dinyatakan beberapa faedah dan hikmah beramal dengan surah tertentu ,melainkan hanya terdapat sebahagian kecil sahaja tidak dinyatakan faedah atau kelebihan sesuatu surah tesebut seperti surah al-Fajr dan surah al-Insyiqaq.


Tafsir al-Rawi Juzu’ `Amma hasil karya Haji Yusof Rawa mempunyai nilainya yang tersendiri, dan mendapat perhatian khalayak ramai sehingga penerbitannya diulang cetak beberapa kali. Hasil yang diusahakan oleh beliau masih lagi di gunakan sehingga kehari ini. menjadi bahan bacaan tafsir oleh masyarakat tempatan dan menjadi bahan kajian di peringkat institusi pengajaian tempatan. Tafsir ini telah diperbaiki mutunya agar ianya mudah difahami dan sesuai digunakan mengikut peredaran masa.





3.0 Tafsir surah al-Fiil oleh Haji Yusof Rawa.

óOs9r& ts? y#øx. Ÿ@yèsù y7/u É=»ptõ¾r'Î/ È@Ïÿø9$# ÇÊÈ óOs9r& ö@yèøgs ö/èfyøŠx. Îû 9@Î=ôÒs? ÇËÈ Ÿ@yör&ur öNÍköŽn=tã #·ŽösÛ Ÿ@Î/$t/r& ÇÌÈ NÎgÏBös? ;ou$yÚÏt¿2 `ÏiB 9@ŠÅdÚÅ ÇÍÈ öNßgn=yèpgmú 7#óÁyèx. ¥Aqà2ù'¨B ÇÎÈ

1. Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu Telah bertindak terhadap tentara bergajah[1601]?

2. Bukankah dia Telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Ka'bah) itu sia-sia?

3. Dan dia mengirimkan kapada mereka burung yang berbondong-bondong,

4. Yang melempari mereka dengan batu (berasal) dari tanah yang terbakar,

5. Lalu dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat).

[1601] yang dimaksud dengan tentara bergajah ialah tentera yang dipimpin oleh Abrahah Gubernur Yaman yang hendak menghancurkan Ka'bah. sebelum masuk ke kota Mekah tentera tersebut diserang burung-burung yang melemparinya dengan batu-batu kecil sehingga mereka musnah.

Mentafsir surah al-Fiil, Haji Yusof Rawa telah menggunakan pendekatan ilmiah dalam mentafsirkan ayat, sesuai dengan tahap pemikiran umat Islam pada masa itu. Ini dinyatakan sebagai menghurai latarbelakang surah tersebut. Beliau menyatakan bahawa binasa angkatan tentera Habsyi itu disebabkan merebaknya penyakit ketumbuh dan demam cacar. Haji Yusof mentafsirkan,

"Pada besok harinya dengan takdir tuhan yang Maha Kuasa merebak dalam angkatan Habsyi itu penyakit ketumbuh dan demam cacar. Dahsyat sungguh taun itu! Daging mereka hancur berkecai-kecai, merebak bau busuk danur, nanah dan darah."

Pendekatan ilmiah yang digunakan adalah bermaksud tfsir bi al-Ra'yi iaitu menggunakan seluruh ilmu yang dikuasai tanpa terikat kepada penjelasan para sahabat atau tabi'in. Yusof Rawa mentafsir berpandukan kepada ilmu pengetahuan yang mantap dalam bahasa Arab dan ilmu yang berkaitan dengan asas-asas agama yang lain seperti usul fiqh, ilmu hadis dan sebagainya.

Mentafsirkan ayat dari surah al-Fiil, Haji Yusof tidak menggunakan metodologi tafsir Bi al-Ma'thur iaitu tafsir ayat al-Quran dengan ayat al-Quran ,ayat al-Quran dengan hadis dan dengan pendapat sahabat dan pendapat yang disepakati oleh para tabiin R.A sebagaimana kebiasaan yang dilakukan oleh pentafsir-pentafsir lain. Beliau tidak menggunakan kaedah ini berkemungkinan untuk menyesuaikan kemampuan pelajar dan masyarakat awam dalam mempelajari dan memahami al-Quran.

Bagi tafsiran ayat 4 surah al-Fiil ini, beliau menyatakan seperti berikut;

NÎgÏBös? ;ou$yÚÏt¿2 `ÏiB 9@ŠÅdÚÅ ÇÍÈ

4. Yang melempari mereka dengan batu (berasal) dari tanah yang terbakar,

Melontar serta melempar mereka itu dengan batu-batu yang terjadi dari tanah-tanah keras sahaja, batu-batu yang mengandung kebinasaan mereka itu, batu-batu yang:

Beliau menggunakan tafsir bi al-Ra'yi iaitu menggunakan akal fikiran untuk berijtihad mencari sesuatu maksud ayat al-Quran al-Karim.

Selain itu beliau juga menggunakan aspek sejarah untuk mengukuhkan penafsiran ayat –ayat yang telah ditafsirkan, permasalahan yang timbul adalah aspek pensejarahan yang diutarakan oleh Haji Yusof al-Rawa tidak dinyatakan dari mana datangnya sumber sejarah tersebut.

öNßgn=yèpgmú 7#óÁyèx. ¥Aqà2ù'¨B ÇÎÈ

5. Lalu dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat).

Menjadikan mereka itu hancur lebur, berkecai-kecai tanggal daging mereka dan anggota-anggota mereka luruh berpenggal-penggal. Umpamanya adalah seperti daun kayu yang kering dimakan ulat, bersepah dikunyah binatang-binatang, Aduh! Sungguh azab, menderita mereka itu.

Beliau menyeru para pembaca supaya mengambil pengajaran ayayt-ayat al-Quran yang dibaca, walaupun perkara yang disebutkan itu adalah khusus, tetapi dimaksudkan oleh Allah adalah umum. Umat Islam boleh menjadikannya sebagai pengajaran. Hasrat tentera Abrahah ingin meruntuhkan rumah Allah tidak kesampaian kerana berniat jahat dan ingin melawan kekuasaan Allah. Umat Islam wajib patuh kepada setiap perintah Allah serta memuliakan rumah Allah.

Di akhir hampir setiap surah perbahasan Tafsir al-Rawi ini dinyatakan beberapa faedah dan hikmah beramal dengan surah tertentu termasuk surah al-Fiil, melainkan hanya terdapat sebahagian kecil sahaja tidak dinyatakan faedah atau kelebihan sesuatu surah tesebut seperti surah al-Fajr dan surah al-Insyiqaq. Kitab yang menjadi rujukan utama beliau ialah Khazinah al-Asrar dan kitab al-Durr Nazim fi Khawas al-Quran al-'Azim. Beliau menyatakan secara ringkas kelebihan atau faedah beramal dengan surah-surah tertentu.

4.0 Ulasan terhadap kitab tafsir karangan Haji Yusof Rawa.

Tafsir al-Rawi Juzu’ `Amma hasil karya Haji Yusof Rawa mempunyai nilainya yang tersendiri, dan mendapat perhatian khalayak ramai sehingga penerbitannya diulang cetak beberapa kali. Hasil yang diusahakan oleh beliau masih lagi digunakan sehingga kehari ini. menjadi bahan bacaan tafsir oleh masyarakat tempatan dan menjadi bahan kajian di peringkat institusi pengajaian tempatan. Tafsir ini telah diperbaiki mutunya agar ianya mudah difahami dan sesuai digunakan mengikut peredaran masa.

Tafsir Juzu' 'Amma karangan Yusof Rawa boleh dijadikan panduan kepada umat Islam kerana tafsir ini telah mendapat pengiktirafan daripada majlis Ugama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan pada tahun 1952. Majlis Ugama dan pihak majlis ulama telah menghalusi dan menegaskan bahawa Tafsir al-Rawi Juzu' 'Amma ini tidak mengandungi apa-apa yang menyalahi syara' dan betul dengan kehendak ayat-ayat yang ditafsirkan itu.

Tafsir ini yang ditulis menggunakan bahasa Melayu tulisan Jawi memudahkan bagi mereka yang mempelajari tafsir untuk memahami tafsir dan isi kandungan al-Quran bagi mereka yang tidak memahami Bahasa Arab terutama kepada orang-orang Melayu yang beragama Islam yang meminati mempelajari ilmu tafsir kerana kebanyakan kitab-kitab tafsir banyak yang ditulis dalam bahasa Arab yang sukar difahami orang –orang Melayu pada ketika itu.

Tafsir al-Rawi Juzu' 'Amma merupakan sebuah tafsir yang ringkas dan padat sesuai untuk pelajar-pelajar yang ingin menghafaz juzuk 'Amma. Tafsir ini menjadi rujukan kepada pelajar sekolah agama pada masa itu, juga disasarkan kepada tiga golongan iaitu mereka yang gemar dan ingin mengetahui erti firman kitab suci, murid-murid sekolah agama yang mempelajari tafsir dan kepada sesiapa juga yang mempunyai baik sangka terhadap beliau dalam segala peringkat.

Melalui seruan beliau kepada pembaca supaya mengambil pengajaran daripada ayat-ayat al-Quran yang dibaca, memberikan galakan kepada pembaca untuk melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya seterusnya mengamalkan ajaran Islam sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran.

Isu-isu semasa umat Islam yang telah dihuraikan dalam Tafsir Juzu' 'Amma ini seperti isu kemiskinan dengan menyeru kepada muslimin supaya mengadakan badan-badan kebajikan untuk membantu orang miskin boleh dijadikan panduan kepada umat Islam dalam kehidupan harian mereka.

Contoh-contoh perkara-perkara yang berlaku dalam masyarakat pada masa itu yang dikemukakan oleh beliau dalam tafsirannya mampu memberikan gambaran yang jelas kepada para pembaca untuk memilih dan mengamalkan perkara-perkara yang baik dan meninggalkan perkara-perkara yang terlarang seperti mengamalkan sihir.

Haji Yusof Rawa juga ada juga menyatakan doa-doa meminta pertunjuk Allah taala dan beberapa ungkapan mengikatkan manusia tentang keagungan Allah Taala.Sebagai contoh doa selepas akhir penafsiran surah al-Takathur. Pada pandangan saya doa-doa yang dinyatakan oleh beliau boleh dijadikan panduan kepada pembaca tafsir untuk bermunajat kepada Allah.

Dalam perbahasan Tafsir al-Rawi ini ada dinyatakan beberapa faedah dan hikmah beramal dengan surah tertentu. Perkara ini sangat memberi kesan yang baik kepada pembaca kerana dapat menggalakkan pembaca untuk mengamalkan dan menghafaz surah-surah dalam al-Quran.

Kitab Tafsir Juzu' 'Amma karangan Yusof Rawa dapat memudahkan masyarakat awam yang sentiasa dahagakan ilmu untuk membaca dan memahami isi kandungan ayat-ayat didalam Juzu’ `Amma kerana ianya disusun didalam kaedah Baghdadiyyah seperti disusun didalam muqaddam . Mudah bagi pembaca untuk mencari tafsir surah-surah yang ingin mereka ketahui dan pelajari dengan cepat, kerana pembaca telah biasa dengan susunan surah-surah dalam muqaddam.

5.0 Penutup

Tafsir Juzu' Amma tulisan Haji Yusof Rawa boleh dijadikan panduan kepada umat Islam. Walaubagaimanapun, Tafsir ini perlu ditahqiq dan diedit serta dibuat pengolahan semula dengan tidak lari dari pentafsiran asal, terutamanya dari aspek asbab nuzul, dinyatakan sumber yang sahih dari sudut sejarah. Pengolahan ini dapat meningkatkan mutu pentafsiran agar, ianya dapat dimanfaatkan oleh individu muslim yang ingin mendalami ilmu al-Quran seterusnya memahami maksud al-Quran itu sendiri.


[1]
Mujahid Hj Yusof Rawa (2001)Permata Dari Pulau MutiaraKuala Lumpur:Warathah Haji Yusof Rawa ,hal.5.

[3] Ibid ,.Mujahid Hj Yusof Rawa,m/s5

[13] opcit,.Muhamad Najib dan Mazlan,Jurnal Usuluddin m/s 94

[36] Ibid,.Tafsir al-Rawi,m/s 305 bahagian 2.





Rujukan.

Mustaffa Abdullah (2009) Khazanah Tafsir di Malaysia, Bentong : Book Pro Publishing Services.

Noraine Abu (2003) Ulum Al Quran Mukjizat Yang Terbesar Nabi Muhammad

SAW , Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers

Mujahid Hj Yusof Rawa (2001) Permata Dari Pulau Mutiara Kuala Lumpur: Warathah Haji Yusof Rawa

http://disertasi.blogspot.com/2007/07/disertasi-ilmiah-11-tafsir-al-rawi-juzu.html

http://ms.wikipedia.org/wiki/Yusuf_Rawa

http://www.ibnuhasyim.com/2008/10/sej-politik-bpulau-3-bersama-haji-yusuf.html

1 comment:

Unknown said...

Assalamualaikum...sape lg adik beradik hj Yusuf?