2.0 Maksud Khurafat serta sebab Islam melarangnya.
2.1 Pendahuluan.
Amalan khurafat merupakan amalan yang telah berlaku sejak zaman Arab jahiliyyah lagi. Sehingga kini.amalan tersebut masih menjadi amalan dalam masyarakat Islam. Khurafat adalah salah satu bentuk penyelewengan dalam aqidah Islam. Amalan khurafat mengalih pergantungan manusia daripada khalik iaitu Allah kepada makhluk yang dicipta oleh Allah.
2.2 Takrif Khurafat.
Menurut Kitab Al-Muljam al-Wasit, khurafat adalah cerita-cerita yang mempersonakan yang dicampur adukkan dengan perkara dusta.
Manakala mengikut Menurut Kamus Idris al-Marbawi (hal. 169) pula khurafat ialah: cerita karut atau sebarang cerita yang benar-benar dusta.
Berdasarkan takrif tersebut dapat dibuat kesimpulan bahawa khurafat ialah sesuatu perkara mempersonakan berbentuk cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang-larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan rekaan atau dongeng (legenda) yang karut atau tahyul yang menyimpang dari ajaran Islam. Ia tiada nas dan sandaran yang nyata dan lebih kepada telahan atau pandangan yang tidak berasas.
2.3 Ciri-ciri Khurafat.
Di antara ciri-ciri khurafat ialah:
a) Perkara tersebut tidak didasarkan pada nas-nas syarak sama ada al- Quran atau al-Hadith.
b) Cerita tersebut merupakan cerita-cerita rekaan, dongeng, khayalan atau kepercayaan karut.
c) Ianya bersumberkan kepada kepercayaan-kepercayaan lama dan adat yang bercanggah dengan Islam.
d) Ia berbentuk pemujaan dan permohonan kepada makhluk halus untuk tujuan yang memudharatkan dan menyeleweng dari akidah Islam.
e) Ia menggunakan objek-objek tertentu seperti kubur, pokok dan sebagainya untuk tujuan yang tertentu.
f) Ia ada mempunyai unsur-unsur negatif pada akidah dan syariah Islam.
2.4 Bentuk-bentuk Khurafat.
Terdapat berbagai bentuk perkara khurafat yang menjadi amalan sebati yang diamalkan dalam masyarakat Melayu Islam di negara ini. Di antara bentuk-bentuk khurafat ialah:
1. Kepercayaan kepada keramat seperti kubur, pokok kayu, telaga keramat, batu, bukit, tongkat, ramalan-ramalan bintang, angka-angka dan sebagainya.
2. Kepercayaan kepada sial majal seperti adat mandi safar, adat mandi membuang sial dan sebagainya.
3. Kepercayaan kepada jin dan memohon pertolongan darinya seperti adat memuja kampung, adat merenjis tepong tawar adat pantai dan sebagainya.
4. Kepercayaan kepada bertambah dan berkurangnya rezeki seperti adat memuja semangat padi yang dilakukan oleh petani-petani seperti bersemah (memuja semangat padi) dan membuang ancak di sungai dan laut dan bermain pantai.
5. Kepercayaan kepada petanda-petanda dan pantang larang, seperti tidak boleh keluar rumah ketika gagak berbunyi, takut mendapat sial atau bala dan sebagainya.
2.5 Sebab-sebab Islam melarang amalan khurafat.
Di dalam Islam, percaya kepada benda-benda yang dijadikan sebagai benda keramat seperti pokok, kubur, telaga dan sebagainya, serta memuja, memohon pertolongan dan melepaskan nazar pada benda-benda berkenaan dan percaya ianya mempunyai kuasa selain dari Allah S.W.T., adalah membawa kepada syirik dan bertentangan dengan kepercayaan tauhid kepada Allah S.W.T.
Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 72:
Maksudnya: “Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim.”
Agama Islam melarang umatnya mengamalkan khurafat adalah disebabkan beberapa faktor iaitu;
1. Merosakkan aqidah.
Amalan khurafat ini boleh merosakkan aqidah seseorang Islam walaupun dalam masa yang sama, individu tersebut tidak meninggalkan solat
2. Membatalkan iman seseorang.
Amalan khurafat yang membawa kepada syirik boleh mengakibatkan terbatalnya keimanan seseorang. Perkara ini berlaku kerana, orang yang mengaku beriman kepada Allah dan dalam masa yang sama mempercayai perkara-perkara karut yang bertentangan dengan rukun Iman menyebabkan hilang kepercayaan kepada rukun Iman keenam iaitu qada dan qadar Allah
3. Menjejaskan kegiatan sosial dan ekonomi umat Islam.
Islam amat melarang keras umatnya percaya kepada khurafat kerana ia menjejaskan kegiatan sosial, ekonomi umat Islam. Ia akan melahirkan budaya malas berusaha, minda menjadi jumud, kegiatan ekonomi terbantut, mudah berputus asa, tidak bertawakal kepada Allah serta menjejaskan dinamika serta martabat Islam yang syumul.
4. Menafikan kekuasaan Allah
5. Perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Rasulullah s.a.w.
Perbuatan khurafat ternyata bertentangan dengan ingatan Rasulullah SAW melalui sabdanya bermaksud: “Tiada jangkitan, tiada sial, tiada kemudaratan burung hantu, tiada bala bencana bulan Safar, dan larilah engkau daripada orang yang berpenyakit kusta seperti engkau lari daripada singa.” (Hadis riwayat Bukhari)
2.6 Penutup
Setiap umat Islam wajib menghindarkan diri mereka daripada mengamalkan perkara khurafat serta wajib berusaha membenteras amalan khurafat dalam masyarakat. Melalui cara ini, umat Islam akan terselamat daripada godaan syaitan yang sentiasa mencari jalan agar mereka tersesat dari jalan Allah. Menjauhi perkara khurafat ini akan mengelakkan umat Islam daripada terjerumus ke lembah kekufuran dan kesyirikan, sebaliknya menjadikan mereka umat yang sentiasa jalan yang telah ditunjukkan oleh junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.
Rancangan Pelajaran Harian
Pendidikan Islam Tahun 6
Tajuk :
Perkara-perkara yang membatalkan iman
No comments:
Post a Comment